Tuesday, October 6, 2009

PD oh PD..

Tidak dapat aku nafikan yang aku menulis ini kerana banyaknya pendedahan sayugia berlakunya satu lagi pertembungan kuasa (antara Sang Purnama dengan Sang Kati) di sebuah kawasan di Port Dickson, Negeri Sembilan Darul Khusus...

Segalanya ibaratkan ketentuan Illahi selepas satu... satu, selepas satu..satu, siapa yang menyangka udah usai 8 Pilihanraya Kecil tanahair kita tuntuni selepas tanggal misteri 8 Mac 2008. Namun pastinya ada hikmah yang cuba disampaikan Illahi kepada kita, penghuni dan pewaris bumi Malaya...

Misalnya, hari ini aku terpanggil untuk melaungkan suara dengan getaran bunyi "PD oh PD"...Benarnya, jika tidak kerana pertembungan terkini ini, mesti ramai yang tidak tahu akan suasana dan citra tempat pelancongan ini pada masa marhaen...Meskipun aku bukanlah anak jati PD atau anak jati Negeri Sembilan tetapi tidak salah untuk aku melontarkan pedoman aku sejak mengenali PD sedari kecil lagi...

Aku masih ingat tatkala umur ku sekitar 5 tahun, aku uda dipertemukan dengan lautan indah PD. Barangkali kerana ayahanda dan bonda ku seringkali pulang ke kampung mereka, makanya PD saja tempat sesuai untuk berekreasi sesama keluarga. Ketika itu kami menikmati keindahan sekitar laut teluk kemang (ada sebuah rumah teman ayahandaku, di tepi lautan itu)...sungguh nian sekali...tetapi apabila aku berpindah ke Seremban sekitar umurku 8-9 tahun kami sekali lagi berkunjung ke PD...tetapi kata ayah ku "laut sini dah kotor, jom kite pergi Blue Lagoon-belakang kem askar"...benar lautnya tenang, biru dan privasi...nah sejak itu Blue Lagoon lah tempat kami kunjungi sehinggalah umurku 11 tahun dan aku berpindah ke Kuala Lumpur...

setelah sekian lama, dalam tahun 2001-2003 aku kembali ke PD untuk menrencana satu program universiti ku dan sedih bersulam pilu melihat lautnya udah tidak seperti dahulu...terdetik dihatiku, mengapa dan kenapa ini terjadi? lantaran melihat Blue Lagoon juga sudah tidak seperti dahulu...kenapa banyak botol-botol dan sampah sarap digigian lautnya? apakah budaya rakyat ku yang jahil atau tiada pemantauan dan penguatkuasaan? Aku tertanya-tanya...Dan yang paling ku kagumi...raksaksa besar bernama Marina Resort yang seingat aku ditepiannya ada sebuah warung kecil yang pernah aku singgahi mengisi perutku yang berkeroncong...Aku terpinga-pinga lantaran lampu yang dibuka serata bangunan tetapi soalnya tiada penghuni??!! Aku terpinga-pinga sebelum aku sedari, itu satu projek yang terbengkalai...aduh sedih hatiku...

Kini, setelah jauh kaki berjalan...bukan sekadar ke Pulau Pinang atau Pangkor atau Pantai Chenang, Langkawi...tetapi sejauh Phi Phi Island, dan pantai di sekitar Australia ini..aku terfikir, apakah penguasa di negeri sembilan tidak bisa memikirkan cara terbaik dan tercantik untuk menaikkan nama PD!!! Aku sedih dan malu, jangankan mau dibanding Pantai Patong di Phuket, cukup sekadar membandingkan dengan Pantai Chenang, Langkawi...Apakah Penguasa di PD tidak MALU dengan usaha kalian???? bak kata orang negeri sembilan "ngabihkan boreh yo!!"

Justeru itu, pertembungan kuasa yang digegak gempitakan hari ini..hikmahnya bukan soal "kuasa" sahaja..tetapi mungkin mahu disampaikan sergahan Pencipta kepada kita semua, "Woi manusia, aku bagi PD pantai Ku, tapi kau semua buat bodoh dan kotorinya, tak reti nak jaga, bodoh...sedar la woiiiiiii!!!" Bagi aku, aku sekadar mampu mengeluh-PD oh PD..

Wednesday, September 16, 2009

Ucapan Salam Eidulfitri & Salam Ulangtahun Malaysia ke-46

Assalamualaikum dan Salam Muhibbah,

Teman-Teman Setanahair sekalian,

Setelah detik meniti waktu dan hari berganti hari, tanpa kita disedari- sinar Syawal bakal menyinsing yang menandakan berakhirnya kemanisan Ramadhan yang sedang kita nikmati saat dan tika ini. Sepurnama Ramadhan menyinggah hanya bagaikan siang berganti malam pendeknya. Moga-moga segala amal kebajikan kita diterima Illahi dan InsyaAllah kita akan cuba untuk terus Istiqamah dalam bulan-bulan yang mendatang….


Dikesempatan akhir Ramadhan ini, pihak MyPSA WA ingin menitipkan Salam Eidulfitri dan Salam Keceriaan buat seluruh ahli MyPSA WA walau dimana kalian berada. Pihak saf pimpinan MyPSA WA ingin memohon dengan rendah hatinya kemaafan daripada seluruh ahli sekiranya ada salah silap, terlanjur bahasa, terkasar bahasa, terlewat respons, terlepas pandang, tersentuh hati, terkurang prihatin, dan terkurang sempurna majlis yang dianjurkan serta segala kekurangan gerak kerja kami selama 5 bulan menerajui persatuan kita yang belum pun setahun jagung ini. Manakan ada lautan tak bergelora dan manakan ada bumi tak ditimpa hujan.


Dengan semangat ini juga, MyPSA WA menyeru kepada semua kita untuk terus menyuburkan semangat KEKELUARGAAN KITA di perantauan ini. Marilah sama-sama kita saling bermaafan dan melupakan segala kenangan pahit yang terpalit sesama kita dengan semangat SATU KELUARGA MALAYSIA di kota Perth ini. Bagi yang berada di Perth tatkala menyambut Syawal nanti, alangkah indahnya jika budaya kunjung mengunjung kita terus suburkan sesama taulan di sini tanpa mengira agama, bangsa dan budaya. Harapnya jangan kita lupakan teman-teman setanahair di sini terutama daripada kaum Cina , India , Kadazan, Iban dan sebagainya untuk kita raikan bersama lebaran yang mulia ini. Inilah semangat yang harus kita tonjolkan, lebih-lebih lagi dalam kita meraikan Hari Ulangtahun Malaysia ke-46 pada 16 September 2009.


Sementara itu buat teman-teman setanahair yang bakal pulang berhari raya di Malaysia. Pihak MyPSA WA mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kalian bersama sanak saudara tercinta. Berhati-hati jika memandu di tanahair kerana pastinya kesibukan akan terasa sepanjang Eidulfitri ini. Jika makan lemang, ketupat, rendang, soto, masak lodeh, lontong (dan banyak lagi kalau nak ditulis…), ingat-ingatlah kami di sini dan kami doakan kalian selamat kembali bertemu kita di sini nanti.

Akhirnya, sekali lagi MyPSA WA mengucapkan Salam Eidulfitri dan Salam Keceriaan buat semua. InsyaAllah, berbeza dengan tahun lepas, diatas pelawaan pihak Konsulat General Malaysia-Perth, satu Majlis Sambutan Eidulfitri akan dianjurkan bersama-sama dengan semua persatuan Malaysia di Perth pada tarikh, masa dan tempat yang akan ditentukan kelak. Kami juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Ulangtahun Malaysia ke-46 yang bakal kita sambut pada esok hari iaitu meraikan tanggal keramat 16 September 1963, tanggal penubuhan negara Malaysia tercinta.


Wassalam dan Salam Perpaduan

“Ke Arah Mengukuhkan MyPSA WA”

Daripada:

Saf Pimpinan MyPSA WA Sesi 2009/2010

Tuesday, September 15, 2009

Kita Ini Bangsa Malaysia!!!

Mungkin ada yang terlupa tatkala bersuaranya Bapa Kemerdekaan Malaya, YTM Almarhum Tunku Abd Rahman Putra al-Haj pada tanggal 27 Mei 1961,bertempat di Singapura dalam satu konferensi kewartawanan, beliau menggagaskan penubuhan sebuah konfiderasi merdeka sebuah negara yang bernama Malaysia.

Meskipun, mendapat pelbagai hambatan dan tentangan, namun cetusan minda beliau ini mempunyai impak yang cukup hebat di seantero nusantara...benar ia mengundang kelantangan Bung Karno dan kegelisahan Kesultanan Brunei dan Filipina, tetapi hakikatnya cetusan inilah yang menderaskan segala usaha memerdekakan taulan serumpun khususnya di Borneo yang masih dicengkam penjajahan tatkala itu. Lebih jauh daripada itu, negarawan terbilang ini sebenarnya sudah menjangkau dimensi dengan melihat kejayaan yang bakal kita kecapi di masa hadapan dengan penyatuan ini. Atas kudrat dan takdir Illahi, tertubuh juga negara tercinta Malaysia pada tanggal keramat 16 September 1963.

Cumanya, aku ingat bertanya atas dasar apa, kebanyakan kita bagaikan terlupa akan peri pentingnya tanggal keramat ini? Sedangkan inilah sebenarnya tanggal di mana kita baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah disatukan di bawah lembayung kemerdekaan yang hakiki...Nah selanjutnya, dengan berbekalkan penyatuan inilah maka kita semuanya bergerak sederap kehadapan sebagai sebuah bangsa Malaysia...Apakah mungkin kerana kurangnya penghayatan tanggal ini makanya seringkali kita terlupa teman-teman kita di Sabah dan Sarawak? Apakah mungkin kerana kurangnya penghayatan tanggal ini makanya kita masih bergelumang dengan isu Perpaduan Nasional?

Hakikatnya ini bukan isu murahan atau tempelan atau entengan...bahkan ketika menuntut ilmu sejarah di Tingkatan 4&5 dulu, aku pernah tanyakan soalan yang sama kepada cikgu sejarah ku, Puan Hjh Fauziah..."Kenapa 16 September ini kita tak raikan dengan beriya cikgu macam kita raikan 31 Ogos cikgu? Bukan ke kedue-due tarikh nie sama penting dan sama besar kepada kite?" Tapi aku tak ingat pulak apa jawapan cikgu aku masa itu...Dan aku masih ingat ketika di Tingkatan 2 Azam (tahun 1994/95), kami mencetus perubahan dengan satu-satunya kelas ketika itu yang melancarkan sendiri Sambutan Kemerdekaan (sedangankan Jbtn Pendidikan Wilayah Persekutuan hanya keluarkan pekeliling untuk tahun berikutnya...) , dengan tarikh kemuncaknya kami letakkan pada tanggal 16 September tahun tersebut...habis kami kerahkan teman-teman semuanya berpuisi, berkuiz, bersyarah, membaca bioadata tokoh-tokoh setiap kali perubahan subjek, mewujudkan ruangan khas dan kemuncaknya kami membuat persembahan pentomen kemerdekaan dalam satu majlis khas (ingat tak marzuq, amat, mus, rahmath, masriayu n semue2?hehehehe...pakai water colour buat misai..hahaha)...Pokoknya, jika kita benar-benar hayati sejarah, adalah tidak adil bagi teman-teman kita di Sabah dan Sarawak jika kita menyambut tanggal 16 September ini hanya separuh hati, kerana kita harus hayati bahawa inilah juga tanggal kemerdekaan teman-teman kita daripada penjajahan sepenuhnya!!!

Oleh itu, aku mengingatkan diri aku dan sesiapa yang membaca nukilan aku ini, ayuh kita hargai sepenuhnya tanggal keramat ini. Jika bukan kita siapa lagi yang harus mengangkat tanggal ini sebagai tanggal azimat penyatuan kita. Ayuh seluruh teman-teman warganegara ku...kita semuanya daripada sebuah negara bernama Malaysia..jangan gentar atau takut atau segan untuk menyebut kita semuanya bangsa Malaysia, kerana tidak sedikit pun tergugat keMelayuan, keCinaan, keIndiaan, keIbanan, keKadazanan, keAslian, keMurutan, keBajauan, keMelanauan, KeJawaan kita semuanya dengan hanya mengaku KITA INI BANGSA MALAYSIA. Selamat Menyambut Ulangtahun Malaysia ke-46!!! MAJU MALAYSIAKU!!

Monday, September 7, 2009

Ucapan Terima Kasih & Salam Nuzul Quran

Assalamualaikum & Salam Muhibbah

Teman-teman MyPSA WA dan MAWAR sekalian,

Bagi pihak MyPSA WA, kami mengucapkan jutaan penghargaan kepada semua teman yang telah hadir menjayakan program Iftar Ramadhan MyPSA WA, Tourism Malaysia & Consulate General Malaysia-Perth pada malam tadi. Ucapan khusus ditujukan kepada Tn Hj Shukri (Pengarah Tourism Malaysia WA, SA & NT) sekeluarga, Pn Hamidah (Consulate General Malaysia-Perth) , En Zulhairi (Vice Consul) sekeluarga, Tuan-Tuan Imam, wakil-wakil persatuan, para dermawan, teman-teman yang sudi memasak menu utama kita kari dan sup kambing (sehingga ada yg tak boleh nak berhenti makan...), dan juga kepada yang tidak berkesempatan hadir tetapi mendoakan kelancaran majlis kita malam tadi. Jazakallahukhairankasira...

MyPSA WA juga ingin mengucapkan salam Nuzul Quran buat semua dan marilah kita muhasabah diri untuk kembali kepada Kitab Allah ini. Sekadar memetik kata-kata Pak Hamka:

"Isi al-Quran itu umpama api yang berkobar-kobar dan menyala-menyala,
Dan jika api ini telah berkobar-kobar dan menyala-menyala pula dalam dadanya seseorang manusia, manusia yang sedemikian itu akan menjadi manusia yang tidak takut akan mati"

Ayuh teman-teman semua kita sama-sama kita hayati dan tingkatkan amalan di hari-hari terakhir Ramadhan Kareem ini. Seorang Tok Guru ku pernah bilang sama kepada saya satu Pepatah Jawa yang berbunyi "Rogi dunio katjadi opo2, Rogi akhirat pakal ciloko". Maksudnya jika kita kerugian di dunia tidak mendatangkan apa-apa kepada kita, tetapi rugi diakhirat maka kita bakal celaka.

Moga Allah karuniakan kita darjat yg tinggi pada akhir Ramadhan nanti, kerana kita belum pasti menemuinya pada tahun hadapan. Wallahualam.

Wassalamualaikum & Salam Perpaduan

"Ke Arah Mengukuhkan MyPSA WA"

Yang benar,
Ahmad Fareed Ismail
Presiden MyPSA WA

Sunday, September 6, 2009

Aku sedih dan simpati...

Walaupun berjuta batu jauhnya (bkn lagu alleycates ye..), aku terkesan sekali dengan apa yg berlaku di tanahair...tambah pula terjadi di negeri yang aku berhibernasi sedari 28 tahun yang lalu..ada aja teman-teman menyapa aku dengan katanya "aku sudah bosan dengan isu di Malaysia", "sudah-sudah la Malaysia, tiap-tiap hari politik" dan "MUAK"...Benar kata teman-temanku ini, tapi bagi aku...aku SEDIH dan SIMPATI

Membaca, menonton dan mendengar apa yang berlaku di negeriku (terima kasih revolusi komunikasi..), tuntas aku tersingkap peristiwa yang berlaku di tempat aku berhibernasi di Ulu Klang sendiri..ini bukan cobaan tapi benar-benar kejadian (pinjam dialog Wak Mustarjo)...Hanya kerana ideologi politik makanya sanggup menginjak-injak kesucian rumah Illahi...sanggup meninggikan suara di rumah Illahi...sanggup cabar mencabar di rumah Illahi...sanggup mengherdik Imam yang bacaannya sempurna di rumah Illahi...sanggup memboikot rumah Illahi...aduhaiii..sedih hatiku...

Bahkan yang aku lagi sedih, pelik wal ajaib, mereka inilah juga yang bukannya selalu hampir mengimarahkan surau itu, atau tatkala ditolak menjadi imam, bagaikan sang garuda mau menyambar larinya...atau udah diangkat menjadi imam baru ku tahu bacaan fatihah mu ada yang tidak kena...Nah aku Simpati...Bahkan kerana thap kebosanan aku sebagai generasi muda memuncak merentasi ruang cakerawala atas isu yang sama diulang-ulang aku bingkas bangun bersuara di depan mereka semua dalam satu keraian, terus aku bilang sama mereka semua "ya sudah-sudah la pakcik-pakcik, kami sudah bosan dengan pergaduhan di dalam surau ini, sama-sama kita imarahkan surau ini sudahla...tak malu ke kita bergaduh soal duniawi dalam rumah Dia...bla bla bla (takperlu aku teruskan..panjang yg aku bebelkan masa itu...hehe)"...Ya terus ketika itu, senyap sepi...diam semuanya...mungkin malu...tapi rupanya pura-pura aja, setahun aku menghilang, muncul kembali isu yang sama, dibangkitkan oleh org yg sama...aduhai sedih dan simpati aku....

Nah, apa kerberlangsungan ceritaku dengan suasana "panas" di kawasan jiran senegeriku? Asasnya sama, kalau dalam satu rumah ibadat pun kita bisa mengaum dan bercakar sesama kita inikan pula tetiba sang kancil mau bertegur sapa di dalam kandang harimau malaya...Umbinya, sebagai muslim dan mukmin kita harus koreksi diri kita..misalnya dalam cerita kawasan aku sendiri, mungkin masih ramai "pakcik-pakcik" yang tidak mau atau terlupa kepada tuntutan Illahi yang kita muslim ini bersaudara, larangan dan adab-adab di dalam rumah Allah dan sebagainya...

Begitu juga dalam isu "panas" ini, mungkin kita muslim terlupa apakah tuntutan Islam dalam menjaga keindahan kemajmukan pelbagai bangsa dan keturunan diciptakanNya..mana perginya seni bahasa, seni pekerti, seni mawaddah yang kita warisi dengan adanya Islam menjengah kita? Barangkali kita terlupa akan tuntutan apabila kita berbalah maka rujukannya hanyalah Al-Quran...kita terlupa mau integorasi apa kata Kitab Illahi dalam mendepani isu ini...Ialah bagaimana kiranya tidak terlupa mau diintegorasi isu sebesar ini dalam Kitab Illahi, sedangkan ketika puasa itu harus dijaga lidah(dari kata-kata kesat) pun ada yang terlupa...aduhaiiii sekali lagi AKU SEDIH dan SIMPATI...

Monday, August 31, 2009

Ucapan Hari Kebangsaan ke-52

Assalamualaikum & Salam Muhibbah

Teman-Teman Sebangsa dan Setanahair,

Menyingkap hari ini dlm nostalgia, kita semuanya kembali menjadi warga merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957. Saf Pimpinan MyPSA WA ingin menguntaikan ucapan Salam Kemerdekaan buat kita semua yang berada di perantauan.

Sewajibnya kita menginsafi betapa perjuangan bangkit menentang penjajah itu bermula dari kebangkitan Sultan Ahmad Tajuddin di Kedah menentang Siam dan keberanian Dato' Dol Said di Naning menyanggah kebiadapan Inggeris. Selanjutnya muncullah nama-nama besar seperti Dato' Maharejalela, Tok Janggut, Dato' Bahaman, Sharif Masahor, Rentap dan ramai lagi. Kekadang kita mungkin terlupa mereka inilah yang mencetus kebangkitan moden oleh ahli cerdik pandai seperti Syed Sheikh al-Hadi, Eunos Abdullah, Ahmad Boestamam, Burhanuddin al-Helmi, Pak Sako, Dato' Onn Jaafar, Tun Sambathan, Tun Tan Cheng Lok dan sehinggalah membawa kepada kemerdekaan Malaya yang dikemudi oleh YTM Tunku Abd. Rahman Putra Al-Haj.

Rentetan di atas sekadar renungan untuk kita mensyukuri nikmat merdeka yang walhasilnya memungkinkan kita semuanya berada di bumi Perth ini untuk menuntut ilmu dan kemudiannya mencurah bakti kepada tanahair tercinta. Sama-sama kita insafi di atas batu jemala kita semua tertunjak segunung amanah kepada tanahair tercinta. Bahkan kita sebenarnya punya tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan para pejuang terdahulu untuk memastikan tanahair tercinta akan terus merdeka daripada apa bentuk penjajahan sekalipun baik neokolonialisme barat ataupun neokolonialisme sesama kita sendiri.

Akhirnya, sebagai Duta Kecil Malaysia di Western Australia, marilah sama-sama kita kentalkan semangat dan zahirkan kesatuan dengan iltizam 1Malaysia sempena Ulangtahun Kemerdekaan ke-52 tanahair tercinta. Salam Hari Kebangsaan ke-52 daripada MyPSA WA.

Wassalam dan Salam Perpaduan

"Ke Arah Mengukuhkan MyPSA WA"

Ikhlas,
Ahmad Fareed Ismail
Presiden
MyPSA WA

Ucapan awal Ramadhan MyPSA WA

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan,

Teman-teman MyPSA-WA dan MAWAR,

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kehadrat Azzawajalla kerana memberikan kesempatan kepada kita semua untuk berada sekali lagi dalam bulan Ramadhan al-Kareem bagi tahun 1430H ini. Kesempatan yang diberikan ini kekadang mungkin kita bisa terleka sebagaimana kekadang kita terleka dengan nikmat hidup, nikmat Islam dan nikmat menjadi umat Muhammad S.A.W yang dikurnia Illahi kepada kita.

Saya mengingatkan diri saya dan teman-teman sekalian, marilah sama-sama kita penuhi Ramadhan kita kali ini dengan seribu satu kebaikan samaada dengan ibadah khusus ataupun dengan ibadah umum. Barangkali ada amalan yang kita tidak sempat lakukan dalam bulan Ramadhan yang lalu, inilah peluang terbaik kita untuk menambah saham akhirat kita. Oleh kerana gandaan pahala bagi amalan sunat yang menyerupai amalan fardhu dan amalan fardhu mampu diganda kepada 70 kali, marilah kita sama-sama berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dlm bulan Ramadhan al-Mubarak ini.

Misalnya, jika dlm bulan yg lain kita mungkin terlupa atau tidak terbiasa melafazkan kalimah Basmalah (Bismillahirahmanir rahim) dalam apa juga perbuatan, apa kata kita sama-sama cuba amalkan dalam bulan Ramadhan ini dengan mengungkapkan kalimah ini dalam semua perbuatan dan disudahi dengan Alhamdulillah. Perkara ini mungkin nampak enteng tetapi bayangkanlah betapa manisnya amalan ini apabila kita dapat teruskan di bulan-bulan yang lain. Begitu juga mungkin kita boleh cuba mengamalkan menyebut InsyaAllah dlm melafazkan janji atau ingin mengaturkan sesuatu perkara.

Bagi pihak MyPSA-WA, kami mengucapkan ahlan wa sahlan ya Ramadhan dan semoga semua ahli MyPSA-WA akan terus dilindungi dan dipelihara Azzawajala sepanjang bulan yang mulia ini. Bagi merealisasikan semangat "Kekeluargaan Kita", insyaAllah pihak MyPSA-WA akan menganjurkan Majlis Iftar Ramadhan pada 6 September 2009 bersamaan 16 Ramadhan 1430H bertempat di Queens Park Recreation Centre. Saya menyeru kepada semua ahli untuk sama-sama kita memeriahkan majlis ini yang telah diatur oleh Biro Kerohanian MyPSA-WA. Seperti yang telah dimaklumkan, bagi sesiapa yang berminat hadir dapat mengisi borang online yang telah disediakan untuk membantu kami menyediakan makanan dan persiapan dewan untuk majlis berkenaan. Kami juga membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk memberikan sebarang sumbangan samaada kewangan atau makanan (pot luck) untuk menjayakan Majlis Iftar kita tahun ini (sila berhubung dengan Sdr. Hamdan/Sdr. Saiful).

Akhirnya, sekali lagi saya mewakili MyPSA-WA mengucapkan salam Ramadhan buat semua dan ayuh kita kejar 25 hari berbaki Ramadhan tahun ini. MyPSA-WA juga ingin mengucapkan jazakallahukhair kepada semua yang telah menyumbang untuk Majlis Berbuka Puasa di Musolla UWA dan Curtin untuk Ramadhan kali ini. Kami juga ingin mengucapkan jazakallahukhair kepada semua pihak yang telah dan akan menyumbang kepada menjayakan Majlis Iftar Ramadhan MyPSA-WA yang akan datang.

Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah,
Dan yang kurang itu juga datangnya daripada kami...

Ayuh kita kejar tingkat takwa yang dijanjikan Allah diakhir Ramadhan nanti...Wallahualam

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. ." (Al-Ahzab: 70 - 71)

Wassalamualaikum & Salam Muhibbah

"Ke Arah Mengukuhkan MyPSA-WA"

Yang benar,
Ahmad Fareed Ismail
Presiden
MyPSA-WA