Thursday, December 24, 2009

Ucapan Hari Natal & Tahun Baru 2010

Assalamualaikum & Salam Muhibbah

Teman-teman MyPSA WA & Setanahair sekalian,

Pihak MyPSA WA ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada teman-teman penganut Kristian yang bakal meraikannya pada tanggal 25 Disember 2009. Semoga perayaan ini akan memberikan seribu satu kegembiraan kepada teman-teman yang meraikannya.

Bagi teman-teman yang tidak meraikan perayaan ini, mungkin kita bisa menggunakan kesempatan berada di persekitaran yang begitu sinonim dengan Hari Natal ini untuk memahami adat resam dan budaya setempat dalam merayakannya. Misalnya, saya sekadar berkongsi bacaan saya dalam intisari novel karya Charles Dickens bertajuk A Christmas Carol, terdapat beberapa perkara yang bisa kita tuntuni daripada kisah seorang bakhil yang lagi tamak haloba dan suka menindas; bernama Ebenezer Scrooge dalam menjelang perayaan Hari Natal.

Scrooge telah berubah sepenuhnya setelah didatangi oleh Marley Ghost (rakan kongsinya yang telah meninggal), Ghost of Christmas Past, Ghost of Christmas Present dan Ghost of Christmas Yet To Come. Scrooge telah dibawa mengembara melihat kehidupannya bermula ketika dia masih kecil dengan sifat lembut dan innocent-nya, sifat semasanya yang tamak dan haloba serta suka menindas, sehinggalah kesan atau walhasil daripada sifatnya yang ada sekarang. Kesedaran dan keinsafan Scrooge telah menyebabkannya berubah sepenuhnya menjadi seorang yang baru pada Hari Natal tersebut.

Kisah klasik daripada novel terkemuka ini mengajar kita bahawa tiada yang mustahil untuk kita berubah kepada kebaikan. Segala sifat yang buruk itu akan hanya menyusahkan dan memberikan kesan negatif kepada kita pada masa yang akan datang.Semangat berubah kepada kebaikan inilah yang harus kita cernakan dalam menghadapi kehidupan sebagai penuntut di perantauan ini. Justeru itu teman-teman sekalian, MyPSA WA mengambil kesempatan ini juga mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 dan semoga kita akan berubah kepada kebaikan serta mencapai cita dan hasrat kita pada tahun baru ini, InsyaAllah.

Akhirnya, sekali lagi selamat menyambut Hari Natal bagi teman-teman penganut Kristian dan Selamat Tahun Baru 2010 kepada seluruh sahabat sekalian.

Wassalam & Salam Perpaduan

"Kukuhkan Kekeluargaan Kita"

"Bersama Kukuhkan MyPSA WA Kita"

Yang benar,
Ahmad Fareed Ismal
Presiden
MyPSA WA
Sesi 2009-2010

Friday, December 18, 2009

Salam Awal Muharram 1431H & Tabung Amanah Zakat

Assalamualaikum dan Salam Muhibbah,

Teman-teman MyPSA WA dan Setanahair sekalian,

Pihak MyPSA WA ingin merakamkan Salam Awal Muharram 1431H buat seluruh ahli MyPSA WA yang beragama Islam. Sempena dengan tahun baru hijriah ini, marilah sama-sama kita memuhasabah diri kita barang apa yang telah kita lalui setahun yang lepas. Apakah kita telah menjalaninya dengan baik dan menampakkan peningkatan daripada tahun-tahun hijriah yang lalu? Apakah kita telah melakukan ibadah yang terbaik kepada-Nya pada tahun lalu berbanding tahun-tahun yang sebelumnya? Apakah kita sudah bersedia jika kita ditakdirkan kita dijemput menemui-Nya pada tahun ini? Saya sekadar mengutarakan soalan-soalan ini kepada diri saya kelmarin lantas terdetik pula untuk berkongsi dengan teman-teman yang lainnya...

Apapun yang telah berlalu tetap berlalu...ayuh kita bulatkan nekad dan tingkatkan istiqamah, bahawa tahun baru hijriah 1431 ini akan menjadi tahun yang lebih baik daripada sebelumnya, InsyaAllah. Jika dalam menyambut Awal Muharram ini kita sering renungkan kembali sirah nabawiyyah, peristiwa hijrah Rasulullah dan para sahabat dari Makkah ke Madinah...apalah kiranya dalam masa yang sama kita renungkan juga sejarah hidup kita daripada mula teringat dek minda hinggalah ke hari ini. InsyaAllah kita mungkin akan tersedar akan betapa banyaknya masa telah kita luangkan untuk menghampiri jejak pengorbanan yang dilakukan para sahabat yang berhijrah bersama-sama Rasulullah...atau mungkinkah kita tidak pernah hampir kepada jejak itu bahkan semakin jauh?? Tepuk dada tanyalah iman kita masing-masing...Wallahu'alam.

Sebagai buah tangan untuk semua pada awal tahun Hijriah ini, MyPSA WA ingin meuar-uarkan penubuhan Tabung Amanah Zakat (TAZ) dibawah seliaan pihak MSDA bagi membantu para pelajar Muslim Malaysia yang berada di Australia. Saya bagi pihak MyPSA WA telah mengadakan perbincangan dengan pihak MSDA dalam memberikan cadangan untuk menambahbaikkan penubuhan TAZ. Perlembagaan dan mekanisme pungutan serta pengagihan zakat ini masih lagi dikemaskini oleh pihak MSDA dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra yang mana akan MyPSA WA maklumkan kepada semua ahli persatuan perkembangannya daripada semasa ke semasa. Walaubagaimanapun sekiranya terdapat mana-mana ahli yang bermasalah atau ditimpa musibbah (diklasifikasikan sebagai asnaf sabil), maka harap memaklumkan kepada mana-mana ahli saf pimpinan MyPSA WA untuk kami lanjutkan ke pengetahuan Ahli Lembaga TAZ yang berpusat di Sydney.

Akhirnya, MyPSA WA sekali lagi mengucapkan Salam Awal Muharram 1431H buat semua dan sama-sama kita sambut dengan angin perubahan ke arah kebaikan dan kebajikan.

Wassalam dan Salam Perpaduan

"Ke Arah Mengukuhkan MyPSA WA"

Yang benar,
Ahmad Fareed Ismail
Presiden
MyPSA WA
Sesi 2009-2010

Thursday, December 10, 2009

Ucapan Hari Eidul Adha 1430H-terlambat post

Assalamualaikum dan Salam Muhibbah

Teman-teman MyPSA-WA & Setanahair sekalian,


Pihak MyPSA-WA mengucapkan Salam Eidul Adha buat semua teman-teman sekalian yang beragama Islam yang bakal meraikan hari yang penuh bermakna ini pada tanggal 27 November 2009 bersamaan 10 Zulhijjah 1430H. Marilah sama-sama kita hayati sepenuhnya makna disebalik sambutan yang kita raikan saban tahun selama kita dipinjamkan di dunia ini.

Antara persepsi budaya sesetengah masyarakat kita mengatakan bahawa Hari Raya Eidul Adha ini kurang "kick"nya, kurang meriahnya dan kurang pentingnya berbeda dengan sambutan Eidul Fitri. Ini benarnya satu persepsi yang kurang persis sama sekali kerana kedua-dua perayaan ini punyai kepentingan dan hikmah tersendiri yang disyariatkan kepada kita sebagai muslim yang sejati. Jika 1 Syawal diraikan atas tuntas kejayaan menempuhi Ramadhan al-mubarak, maka 10 Zulhijjah pula diraikan atas mengenang peristiwa Nabi Ismail a.s. dan ayahandanya Nabi Ibrahim a.s.

Peristiwa pengorbanan dua kekasih Illahi ini pastinya banyak yang mampu kita terjemahkan dalam mengharungi kehidupan kita yang sedang berjuang di perantauan untuk menuntut ilmu. Ini kerana menuntut ilmu dengan niat kerana Allah adalah satu ibadah yang cukup besar ganjarannya ditambahkan pula jika membulatkan niat untuk berbakti kepada agama-Nya dan membantu membebaskan anak bangsa daripada kejahilan tatkala kita ditakdirkan InsyaAllah nanti bisa menyiapkan pengajian peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah masing-masing.

Justeru, ayuhlah kita mengambil semangat Eidul Adha ini untuk menggandakan iltizam kita dan memperbaharui niat kita dalam menempuhi cabaran berliku dalam menuntut ilmu di perantauan ini. Pengorbanan yang kita lakukan untuk menimba ilmu ini jika kita niatkan kerana Allah, pastinya akan dibalas dengan seribu kebaikan dan kemudahan daripada-Nya di masa hadapan. Ayuh kita sandarkan matlamat kita menyiapkan pengajian kita semuanya untuk mendapatkan keredhaan Illahi, nescaya dengan itu kita akan mendapat kekuatan dan dipermudahkan segala urusan.

Bagi pihak MyPSA-WA,kami menjemput dengan takzimnya semua ahli persatuan dan Mawar untuk bersama-sama meraikan sambutan hari mulia ini dengan semangat Kekeluargaan Kita ke majlis yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh MyPSA-WA. Berikut adalah butiran program terbabit:

Tarikh: Ahad 29hb November 2009 bersamaan 12 Zulhijjah 1430 Hijrah
Jam: 11 pagi – 2 petang
Tempat: Thurling Green, UWA (Peta Lokasi)
Konsep: Hari Raya, Potluck & Picnic

Akhirnya, pihak MyPSA-WA mengucapkan sekali lagi Salam Eidul Adha buat semua dan semoga semua kita dapat bertemu dalam majlis yang akan diadakan pada hari ahad nanti, InsyaAllah. Ayuh dengan semangat Qurban, kita raikan sambutan ini dengan semangat ukhwah dan KEKELUARGAAN KITA.

Wassalam & Salam Perpadauan

"Kukuhkan MyPSA-WA Kita"

"Kukuhkan Kekeluargaan Kita"

Yang benar,
Ahmad Fareed Ismail
Presiden
MyPSA-WA sesi 2009/2010