Tuesday, September 15, 2009

Kita Ini Bangsa Malaysia!!!

Mungkin ada yang terlupa tatkala bersuaranya Bapa Kemerdekaan Malaya, YTM Almarhum Tunku Abd Rahman Putra al-Haj pada tanggal 27 Mei 1961,bertempat di Singapura dalam satu konferensi kewartawanan, beliau menggagaskan penubuhan sebuah konfiderasi merdeka sebuah negara yang bernama Malaysia.

Meskipun, mendapat pelbagai hambatan dan tentangan, namun cetusan minda beliau ini mempunyai impak yang cukup hebat di seantero nusantara...benar ia mengundang kelantangan Bung Karno dan kegelisahan Kesultanan Brunei dan Filipina, tetapi hakikatnya cetusan inilah yang menderaskan segala usaha memerdekakan taulan serumpun khususnya di Borneo yang masih dicengkam penjajahan tatkala itu. Lebih jauh daripada itu, negarawan terbilang ini sebenarnya sudah menjangkau dimensi dengan melihat kejayaan yang bakal kita kecapi di masa hadapan dengan penyatuan ini. Atas kudrat dan takdir Illahi, tertubuh juga negara tercinta Malaysia pada tanggal keramat 16 September 1963.

Cumanya, aku ingat bertanya atas dasar apa, kebanyakan kita bagaikan terlupa akan peri pentingnya tanggal keramat ini? Sedangkan inilah sebenarnya tanggal di mana kita baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah disatukan di bawah lembayung kemerdekaan yang hakiki...Nah selanjutnya, dengan berbekalkan penyatuan inilah maka kita semuanya bergerak sederap kehadapan sebagai sebuah bangsa Malaysia...Apakah mungkin kerana kurangnya penghayatan tanggal ini makanya seringkali kita terlupa teman-teman kita di Sabah dan Sarawak? Apakah mungkin kerana kurangnya penghayatan tanggal ini makanya kita masih bergelumang dengan isu Perpaduan Nasional?

Hakikatnya ini bukan isu murahan atau tempelan atau entengan...bahkan ketika menuntut ilmu sejarah di Tingkatan 4&5 dulu, aku pernah tanyakan soalan yang sama kepada cikgu sejarah ku, Puan Hjh Fauziah..."Kenapa 16 September ini kita tak raikan dengan beriya cikgu macam kita raikan 31 Ogos cikgu? Bukan ke kedue-due tarikh nie sama penting dan sama besar kepada kite?" Tapi aku tak ingat pulak apa jawapan cikgu aku masa itu...Dan aku masih ingat ketika di Tingkatan 2 Azam (tahun 1994/95), kami mencetus perubahan dengan satu-satunya kelas ketika itu yang melancarkan sendiri Sambutan Kemerdekaan (sedangankan Jbtn Pendidikan Wilayah Persekutuan hanya keluarkan pekeliling untuk tahun berikutnya...) , dengan tarikh kemuncaknya kami letakkan pada tanggal 16 September tahun tersebut...habis kami kerahkan teman-teman semuanya berpuisi, berkuiz, bersyarah, membaca bioadata tokoh-tokoh setiap kali perubahan subjek, mewujudkan ruangan khas dan kemuncaknya kami membuat persembahan pentomen kemerdekaan dalam satu majlis khas (ingat tak marzuq, amat, mus, rahmath, masriayu n semue2?hehehehe...pakai water colour buat misai..hahaha)...Pokoknya, jika kita benar-benar hayati sejarah, adalah tidak adil bagi teman-teman kita di Sabah dan Sarawak jika kita menyambut tanggal 16 September ini hanya separuh hati, kerana kita harus hayati bahawa inilah juga tanggal kemerdekaan teman-teman kita daripada penjajahan sepenuhnya!!!

Oleh itu, aku mengingatkan diri aku dan sesiapa yang membaca nukilan aku ini, ayuh kita hargai sepenuhnya tanggal keramat ini. Jika bukan kita siapa lagi yang harus mengangkat tanggal ini sebagai tanggal azimat penyatuan kita. Ayuh seluruh teman-teman warganegara ku...kita semuanya daripada sebuah negara bernama Malaysia..jangan gentar atau takut atau segan untuk menyebut kita semuanya bangsa Malaysia, kerana tidak sedikit pun tergugat keMelayuan, keCinaan, keIndiaan, keIbanan, keKadazanan, keAslian, keMurutan, keBajauan, keMelanauan, KeJawaan kita semuanya dengan hanya mengaku KITA INI BANGSA MALAYSIA. Selamat Menyambut Ulangtahun Malaysia ke-46!!! MAJU MALAYSIAKU!!

No comments:

Post a Comment