Monday, August 31, 2009

Ucapan awal Ramadhan MyPSA WA

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan,

Teman-teman MyPSA-WA dan MAWAR,

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kehadrat Azzawajalla kerana memberikan kesempatan kepada kita semua untuk berada sekali lagi dalam bulan Ramadhan al-Kareem bagi tahun 1430H ini. Kesempatan yang diberikan ini kekadang mungkin kita bisa terleka sebagaimana kekadang kita terleka dengan nikmat hidup, nikmat Islam dan nikmat menjadi umat Muhammad S.A.W yang dikurnia Illahi kepada kita.

Saya mengingatkan diri saya dan teman-teman sekalian, marilah sama-sama kita penuhi Ramadhan kita kali ini dengan seribu satu kebaikan samaada dengan ibadah khusus ataupun dengan ibadah umum. Barangkali ada amalan yang kita tidak sempat lakukan dalam bulan Ramadhan yang lalu, inilah peluang terbaik kita untuk menambah saham akhirat kita. Oleh kerana gandaan pahala bagi amalan sunat yang menyerupai amalan fardhu dan amalan fardhu mampu diganda kepada 70 kali, marilah kita sama-sama berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dlm bulan Ramadhan al-Mubarak ini.

Misalnya, jika dlm bulan yg lain kita mungkin terlupa atau tidak terbiasa melafazkan kalimah Basmalah (Bismillahirahmanir rahim) dalam apa juga perbuatan, apa kata kita sama-sama cuba amalkan dalam bulan Ramadhan ini dengan mengungkapkan kalimah ini dalam semua perbuatan dan disudahi dengan Alhamdulillah. Perkara ini mungkin nampak enteng tetapi bayangkanlah betapa manisnya amalan ini apabila kita dapat teruskan di bulan-bulan yang lain. Begitu juga mungkin kita boleh cuba mengamalkan menyebut InsyaAllah dlm melafazkan janji atau ingin mengaturkan sesuatu perkara.

Bagi pihak MyPSA-WA, kami mengucapkan ahlan wa sahlan ya Ramadhan dan semoga semua ahli MyPSA-WA akan terus dilindungi dan dipelihara Azzawajala sepanjang bulan yang mulia ini. Bagi merealisasikan semangat "Kekeluargaan Kita", insyaAllah pihak MyPSA-WA akan menganjurkan Majlis Iftar Ramadhan pada 6 September 2009 bersamaan 16 Ramadhan 1430H bertempat di Queens Park Recreation Centre. Saya menyeru kepada semua ahli untuk sama-sama kita memeriahkan majlis ini yang telah diatur oleh Biro Kerohanian MyPSA-WA. Seperti yang telah dimaklumkan, bagi sesiapa yang berminat hadir dapat mengisi borang online yang telah disediakan untuk membantu kami menyediakan makanan dan persiapan dewan untuk majlis berkenaan. Kami juga membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk memberikan sebarang sumbangan samaada kewangan atau makanan (pot luck) untuk menjayakan Majlis Iftar kita tahun ini (sila berhubung dengan Sdr. Hamdan/Sdr. Saiful).

Akhirnya, sekali lagi saya mewakili MyPSA-WA mengucapkan salam Ramadhan buat semua dan ayuh kita kejar 25 hari berbaki Ramadhan tahun ini. MyPSA-WA juga ingin mengucapkan jazakallahukhair kepada semua yang telah menyumbang untuk Majlis Berbuka Puasa di Musolla UWA dan Curtin untuk Ramadhan kali ini. Kami juga ingin mengucapkan jazakallahukhair kepada semua pihak yang telah dan akan menyumbang kepada menjayakan Majlis Iftar Ramadhan MyPSA-WA yang akan datang.

Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah,
Dan yang kurang itu juga datangnya daripada kami...

Ayuh kita kejar tingkat takwa yang dijanjikan Allah diakhir Ramadhan nanti...Wallahualam

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. ." (Al-Ahzab: 70 - 71)

Wassalamualaikum & Salam Muhibbah

"Ke Arah Mengukuhkan MyPSA-WA"

Yang benar,
Ahmad Fareed Ismail
Presiden
MyPSA-WA

No comments:

Post a Comment