Friday, May 22, 2009

UCAPAN ALUAN PRSIDEN MyPSA WA di laman web MyPSA WA

Assalamualaikum WBT., Salam Sejahtera dan Salam Muhibbah,


Teman-Teman Sebangsa dan Setanahair,

Pertama-tamanya izinkan saya untuk memanjatkan kesyukuran kehadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya jualah Persatuan Pasca Siswazah Malaysia-Western Australia (MyPSA-WA) telah berjaya ditubuhkan secara rasminya. Sekalung penghargaan diuntaikan buat Jawatankuasa Penaja MyPSA-WA yang telah bertungkus lumus memerah keringat bagi menjayakan kewujudan persatuan kita hari ini. Tidak dilupakan juga kepada leluhur “senior-senior” penuntut pasca siswazah Malaysia yang telah lama menggerakkan rencana dan idea kearah penyatuan kita di bumi Western Australia. Segugus penghargaan turut saya hulurkan kepada semua kita yang telah bersatu menjadi sebahagian warga MyPSA-WA . Tanpa kalian semua, tidak mungkin MyPSA-WA wujud hari ini untuk menjadi satu lagi entiti Malaysia di Western Australia.


Teman-Teman Sebangsa dan Setanahair,

MyPSA-WA merupakan satu persatuan yang ditubuhkan bertujuan menjaga kebajikan, memastikan kecemerlangan akademik serta memupuk semangat kekeluargaan dikalangan ahli persatuan. Tuntasnya, MyPSA-WA harus kita paksikan kepada 4 perkara ini iaitu:


1. Kebajikan Kita
2. Kecemerlangan Akademik Kita
3. Kekeluargaan Kita
4. Kukuhkan MyPSA Kita

Sekiranya ketiga-tiga paksi pertama berjaya kita perkasakan, maka MyPSA-WA InsyaAllah akan berjaya kita kukuhkan. Usaha mengukuhkan MyPSA-WA amat penting dalam usia yang belum pun setahun jagung, kerana dengan kukuhnya MyPSA-WA, maka suara kita para penuntut pasca siswazah Malaysia di Western Australia akan didengari serta mudah disantuni. Walhasil, kebajikan kita semua akan lebih mudah untuk dipelihara dan diperjuangkan oleh MyPSA-WA.


Teman-Teman Sebangsa dan Setanahair,

Usaha mewujudkan laman web MyPSA-WA ini adalah satu usaha murni sebagai medium utama perhubungan dan penyaluran informasi kepada semua ahli MyPSA WA dan juga kepada mereka yang bakal melanjutkan pelajaran peringkat pasca siswazah di Western Australia. Saya kira masih banyak ruang untuk penambahbaikan laman web ini dan segala usaha sedang digerakkan untuk kebaikan semua. Sekiranya ada sebarang idea dan cetusan minda, “kecil tapak tangan, nyiru MyPSA-WA tadahkan”. Laman web ini adalah laman web kita dan sewajarnya kita sama-sama menjayakannya.


Teman-Teman Sebangsa dan Setanahair,

Akhirnya, saya berharap MyPSA-WA akan terus tekun mencurahkan bakti kepada semua warganya. InsyaAllah kita sama-sama hebahkan kepada sahabat, saudara dan teman-teman kita akan kewujudan MyPSA-WA. Dan bagi yang masih belum mendaftar secara rasmi, ayuh usah kita berlengah lagi….MyPSA-WA adalah persatuan kita, persatuan dan penyatuan Penuntut Pasca Siwazah Malaysia di bumi Western Australia.


Wassalam dan Salam Perpaduan


Ahmad Fareed Ismail
Presiden MyPSA-WA 2009

No comments:

Post a Comment