Saturday, April 17, 2010

WARKAH TERAKHIR PRESIDEN MYPSA WA SESI 2009/2010

Assalamualaikum & Salam Muhibbah

Teman-teman MyPSA WA sekalian,

Tanggal 17 April 2010 bersamaan 4 Jamadil Awal 1431H bakal menyinsing esok hari menandakan genaplah tempoh pentadbiran Saf Pimpinan MyPSA WA bagi sesi 2009/2010. Pelbagai coretan kenangan yang dinukilkan samaada suka atau duka sepanjang penggal ini, saya yakin akan mematangkan MyPSA WA yang baru sahaja setahun jagung.

Saya mengambil kesempatan hari Jumaat yang mulia ini untuk menukilkan warkah terakhir saya mewakili Saf Pimpinan MyPSA WA sesi 2009/2010. Sepuluh jari disusunkan mewakili diri saya sendiri dan juga seluruh Saf Pimpinan MyPSA WA sesi 2009/2010; memohon maaf sekiranya ada kekurangan, terkasar bahasa dan terlajak laku selama tempoh pentadbiran kami. Manakan ada bumi tak ditimpa hujan dan manakan ada lautan yang tak bergelora.

Teman-teman MyPSA WA sekalian,

Sesungguhnya apa yang saya dan teman-teman Pimpinan lain lakukan adalah untuk memenuhi pokok intisari mandat yang diberikan khususnya kepada saya kira-kira setahun yang lalu. Kami tegaskan kepentingan kepada merealisasikan agenda KEBAJIKAN KITA, KECEMERLANGAN AKADEMIK KITA, KEKELUARGAAN KITA dan KUKUHKAN MyPSA WA KITA. Namun saya yakin, pastinya ada yang kurang menyantuni hati segelintir kita walaupun tak banyak mungkin sekelumit...nah ini adalah perkara biasa..kerana bukan mudah menyantuni hati setiap manusia kerana "rambut sama hitam, hati lain-lain"..."lain padang, lain belalang". Terserahlah kepada teman-teman MyPSA WA untuk menjadi cermin sakti untuk menilai prestasi dan bukan hanya menilai peribadi.

Bersempena dengan Pemilihan Pimpinan Eksekutif sesi 2010/2011 esok hari, saya menyeru kepada semua teman-teman MyPSA WA untuk menghadiri majlis ini dan menunaikan tanggungjawab kita untuk memberi nilai tambah kepada komuniti kita sendiri. Janganlah pula kita terlalu ghairah berkempen sehingga menghamburkan kata-kata yang agak keterlaluan, yang kurang lunak didengar dan dihadamkan sehingga menusuk hati teman kita sendiri. Ingatlah KITA SEMUA ADALAH KELUARGA!! Menjadi resmi KELUARGA, cubit kaki kiri, kaki kanan terasa. Namun tidak saya nafikan sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kita semua..Cuma semampu mungkin kita elakkan keberantakan yang lebih besar dan memudaratkan.

Nah berkempenlah dengan bijaksana iaitu dengan menguar-uarkan perkara kebaikan dan bukan sebaliknya.Ada yang mengatakan dalam warkah saya bertajuk "Semusim Berlalu..AGM Kita datang lagi", saya cuba untuk berkempen...Memang benar saya berkempen, tetapi saya berkempen untuk mengingatkan semua mengikut apa yang termaktub didalam Perlembagaan MyPSA WA dan peringatan saya sebagai Presiden yang mahukan keberlangsungan dan penyatuan ahli-ahli dalam persatuan ini....Tidak salah bagi saya mencetuskan peringatan itu dan saya berpegang kepada prinsip saya..Saya tidak berkempen untuk mana-mana calon tetapi peringatan saya adalah secara umum untuk kita semua. Harapan saya, Pemilihan Pimpinan Eksekutif ini akan menjadi medan untuk memperkasakan MyPSA WA dan bukannya membina bibit-bibit perpecahan di kalangan kita. Ayuh kita buktikan kerbersamaan dengan semangat 1 Malaysia.

Teman-teman MyPSA WA sekalian,

Ini adalah warkah terakhir saya bergelar Presiden MyPSA WA di bumi Australia...Justeru, saya ingin nasihatkan diri saya dan teman-teman semua, BUANGLAH PERASAAN ASABIYAH, MENGADU DOMBA, MEMBURUK-BURUKKAN TEMAN KITA, CAKAP BELAKANG, MENJADI BATU API, KESETIAAN MEMBUTA TULI, DENGKI MENDENGKI, KUAT MERAJUK, TIDAK BISA DITEGUR, JUMUD PEMIKIRAN, BERMUSUHAN, FITNAH MEMFITNAH, TIPU-MENIPU, TINDAS MENINDAS, TIDAK BERTEGUR SAPA, BALING BATU SEMBUNYI TANGAN, INDIVIDUALISTIK, MERASAKAN DIRI KITA SAHAJA YANG BETUL, SUKA BERGOSSIP ATAU MEMBUAT CERITA-CERITA SENSASI YANG TIDAK PUNYA KEBENARAN DAN PERANGAI-PERANGAI LAIN YANG SEWAKTU DENGANNYA. Mungkin sebelum ini tidak ada sesiapa yang berani membuat kenyataan ini secara terbuka, nah biarlah saya sebagai Penghulu teman-teman sekalian yang menyatakan realiti kewujudan sifat-sifat dalam diri kita semua di bumi Perth ini.

Insafilah semua, kita ini komuniti kecil, apa guna jika kita mewarisi perangai di atas ini? Apa untuk suka-suka? Atau sekadar mengisi masa lapang? Iya sudahlah....barang yang lepas jangan dikenang...sebagai Presiden saya ingin melihat seluruh komuniti Pasca Siswazah Malaysia di Perth tanpa mengira latar belakang, kaum dan keturunan hidup dalam harmoni dan saling berkasih sayang...Marilah kita semua hadir esok hari di Mesyurat Agung Tahunan ke-2 MyPSA WA dengan semangat dan iltizam baru. Datanglah dengan hati yang terbuka untuk memastikan "BERSAMA KITA KUKUHKAN MyPSA WA"

Akhirnya, salam takzim buat semua dan ingatlah KITA SEMUA ADALAH KELUARGA!! Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk jua datangnya daripada saya. Wallahu'alam.

Wassalamualaikum & Salam Perpaduan

"Bersama Kukuhkan MyPSA WA"

Yang benar,
AHMAD FAREED BIN ISMAIL
Presiden
MyPSA WA sesi 2009/2010

No comments:

Post a Comment