Monday, April 12, 2010

Semusim Berlalu...AGM Kita datang lagi

Assalamualaikum & Salam Muhibbah,

Teman-teman MyPSA WA sekalian,

Alhamdulillah...segala puji kehadrat Illahi, kerana dengan keizinannya sudah Semusim Berlalu bagi Saf Pimpinan MyPSA WA sesi 2009/2010 yang bakal mengakhiri mandat kami pada hari Sabtu 17 April 2010/4 JamadilAwal 1431H. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendokong dan menyokong semua usaha kami selama setahun yang lalu. InsyaAllah kami telah cuba menjalankan amanah kami sebaik mungkin untuk membina batu asas kepada pengukuhan persatuan yang kita sayangi ini.

Saya juga bersyukur kerana setelah tamat tempoh pencalonan bagi Pimpinan Tertinggi Sesi 2010/2011 pada hari Sabtu yang lalu, telah terdapat 7 orang ahli yang menerima pencalonan untuk jawatan yang dipertandingkan. Saya secara peribadi mengucapkan jutaan penghargaan kepada kesemua mereka yang menerima pencalonan dan bersedia untuk meneruskan perjuangan MyPSA WA. Bagi mereka yang tertanya-tanya kenapakah saya tidak bertanding kali ini, ingin saya tegaskan bahawa perkara ini telah saya putuskan kira-kira setahun yang lalu apabila menerima pencalonan untuk jawatan Presiden sesi 2009/2010. Adalah jelas saya nyatakan di dalam manifesto saya bahawa saya akan memegang amanah ini hanyalah untuk satu penggal sahaja (http://sites.google.com/site/fareedcv2009/Home/mypsa). Prinsip saya mudah "manusia terikat dengan janji" , maka itulah janji saya dan kini saya tunaikan janji tersebut bagi memberi peluang kepada teman-teman yang lain.

Sehubungan itu, saya yakin pada masa terdekat ini Pengerusi Bersama JK Pemilihan akan menguar-uarkan Kempen Rasmi setiap calon untuk dinilai dan dipertimbangkan oleh semua ahli persatuan. Dalam menilai teman-teman kita ini nanti saya menyeru dengan rendah hatinya kepada seluruh ahli MyPSA WA agar membuat pertimbangan secara rasional dan bijaksana serta tidak dipengaruhi oleh emosi semata-mata.

  • Fikirlah dan Pilihlah calon yang mampu mengangkat perjuangan MyPSA WA seperti mana yang telah diasaskan dan diperkasakan sehingga ke hari ini.
  • Fikirlah dan Pilihlah mereka yang mampu meneruskan agenda "Bersama Kita Kukuhkan MyPSA WA".
  • Fikirlah dan Pilihlah mereka yang dapat memastikan segala objektif dan tujuan penubuhan MyPSA WA ini akan terus dipertahankan, termasuklah menjaga kebajikan kita, kecemerlangan akademik kita, kekeluargaan kita serta keneutralan kita dengan tidak bersifat politik kepartian yang terbawa-bawa dari tanahair.
  • Fikirlah dan Pilihlah mereka yang meletakkan persatuan sebagai platform untuk menyemai benih kebajikan dan kepentingan ahli serta bukannya kepentingan peribadi.
  • Fikirlah dan Pilihlah mereka yang mampu bekerja bersama-sama dalam sebuah organisasi bukannya bekerja sendirian sebagai "Lone Ranger" kerana ini jugalah yang bakal memastikan kebajikan kita terus dibela pada masa yang akan datang,
  • Fikirlah dan Pilihlah mereka yang bukan mengejar kedudukan tetapi mahu berpersatuan untuk menjaga persatuan kita.

Saya yakin semua ahli lebih bijaksana daripada saya dalam menentukan masa depan MyPSA WA. Amatlah sedih lagi memilukan jika segala usaha mereka yang terdahulu dan Pimpinan MyPSA WA sesi 2009/2010 tidak teruskan pada masa yang akan datang.

Akhirnya, saya dengan rendah diri, menyeru, memohon dan merayu kepada semua ahli MyPSA WA untuk hadir pada tanggal 17 April 2010/ 4 JamadilAwal 1431H, hari Sabtu ini ke UWA untuk bersama-sama dalam proses pemilihan Pimpinan Eksekutif MyPSA WA sesi 2010/2011 dan juga Mesyuarat Agung Tahunan ke-2 MyPSA WA. Apalah 2-3 jam yang kita luangkan pada hari Sabtu nanti dengan keberlangsungan persatuan kita untuk setahun yang akan datang...

p/s: Bagi ahli-ahli yang membawa anak-anak kecil, kita akan menyediakan sebuah dewan khas untuk tayangan video "Upin dan Ipin" dibawah jagaan mereka yang telah ditugaskan oleh persatuan, sepanjang mesyuarat agung dijalankan.

MARILAH TEMAN-TEMAN SEMUA: BERSAMA KITA KUKUHKAN MyPSA WA!!!

Wassalam dan Salam Perpaduan

"Bersama Kita Kukuhkan MyPSA WA"

Yang benar,
Ahmad Fareed Ismail
Presiden
MyPSA WA sesi 2009/2010

No comments:

Post a Comment