Monday, August 31, 2009

Ucapan Hari Kebangsaan ke-52

Assalamualaikum & Salam Muhibbah

Teman-Teman Sebangsa dan Setanahair,

Menyingkap hari ini dlm nostalgia, kita semuanya kembali menjadi warga merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957. Saf Pimpinan MyPSA WA ingin menguntaikan ucapan Salam Kemerdekaan buat kita semua yang berada di perantauan.

Sewajibnya kita menginsafi betapa perjuangan bangkit menentang penjajah itu bermula dari kebangkitan Sultan Ahmad Tajuddin di Kedah menentang Siam dan keberanian Dato' Dol Said di Naning menyanggah kebiadapan Inggeris. Selanjutnya muncullah nama-nama besar seperti Dato' Maharejalela, Tok Janggut, Dato' Bahaman, Sharif Masahor, Rentap dan ramai lagi. Kekadang kita mungkin terlupa mereka inilah yang mencetus kebangkitan moden oleh ahli cerdik pandai seperti Syed Sheikh al-Hadi, Eunos Abdullah, Ahmad Boestamam, Burhanuddin al-Helmi, Pak Sako, Dato' Onn Jaafar, Tun Sambathan, Tun Tan Cheng Lok dan sehinggalah membawa kepada kemerdekaan Malaya yang dikemudi oleh YTM Tunku Abd. Rahman Putra Al-Haj.

Rentetan di atas sekadar renungan untuk kita mensyukuri nikmat merdeka yang walhasilnya memungkinkan kita semuanya berada di bumi Perth ini untuk menuntut ilmu dan kemudiannya mencurah bakti kepada tanahair tercinta. Sama-sama kita insafi di atas batu jemala kita semua tertunjak segunung amanah kepada tanahair tercinta. Bahkan kita sebenarnya punya tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan para pejuang terdahulu untuk memastikan tanahair tercinta akan terus merdeka daripada apa bentuk penjajahan sekalipun baik neokolonialisme barat ataupun neokolonialisme sesama kita sendiri.

Akhirnya, sebagai Duta Kecil Malaysia di Western Australia, marilah sama-sama kita kentalkan semangat dan zahirkan kesatuan dengan iltizam 1Malaysia sempena Ulangtahun Kemerdekaan ke-52 tanahair tercinta. Salam Hari Kebangsaan ke-52 daripada MyPSA WA.

Wassalam dan Salam Perpaduan

"Ke Arah Mengukuhkan MyPSA WA"

Ikhlas,
Ahmad Fareed Ismail
Presiden
MyPSA WA

No comments:

Post a Comment