Thursday, December 10, 2009

Ucapan Hari Eidul Adha 1430H-terlambat post

Assalamualaikum dan Salam Muhibbah

Teman-teman MyPSA-WA & Setanahair sekalian,


Pihak MyPSA-WA mengucapkan Salam Eidul Adha buat semua teman-teman sekalian yang beragama Islam yang bakal meraikan hari yang penuh bermakna ini pada tanggal 27 November 2009 bersamaan 10 Zulhijjah 1430H. Marilah sama-sama kita hayati sepenuhnya makna disebalik sambutan yang kita raikan saban tahun selama kita dipinjamkan di dunia ini.

Antara persepsi budaya sesetengah masyarakat kita mengatakan bahawa Hari Raya Eidul Adha ini kurang "kick"nya, kurang meriahnya dan kurang pentingnya berbeda dengan sambutan Eidul Fitri. Ini benarnya satu persepsi yang kurang persis sama sekali kerana kedua-dua perayaan ini punyai kepentingan dan hikmah tersendiri yang disyariatkan kepada kita sebagai muslim yang sejati. Jika 1 Syawal diraikan atas tuntas kejayaan menempuhi Ramadhan al-mubarak, maka 10 Zulhijjah pula diraikan atas mengenang peristiwa Nabi Ismail a.s. dan ayahandanya Nabi Ibrahim a.s.

Peristiwa pengorbanan dua kekasih Illahi ini pastinya banyak yang mampu kita terjemahkan dalam mengharungi kehidupan kita yang sedang berjuang di perantauan untuk menuntut ilmu. Ini kerana menuntut ilmu dengan niat kerana Allah adalah satu ibadah yang cukup besar ganjarannya ditambahkan pula jika membulatkan niat untuk berbakti kepada agama-Nya dan membantu membebaskan anak bangsa daripada kejahilan tatkala kita ditakdirkan InsyaAllah nanti bisa menyiapkan pengajian peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah masing-masing.

Justeru, ayuhlah kita mengambil semangat Eidul Adha ini untuk menggandakan iltizam kita dan memperbaharui niat kita dalam menempuhi cabaran berliku dalam menuntut ilmu di perantauan ini. Pengorbanan yang kita lakukan untuk menimba ilmu ini jika kita niatkan kerana Allah, pastinya akan dibalas dengan seribu kebaikan dan kemudahan daripada-Nya di masa hadapan. Ayuh kita sandarkan matlamat kita menyiapkan pengajian kita semuanya untuk mendapatkan keredhaan Illahi, nescaya dengan itu kita akan mendapat kekuatan dan dipermudahkan segala urusan.

Bagi pihak MyPSA-WA,kami menjemput dengan takzimnya semua ahli persatuan dan Mawar untuk bersama-sama meraikan sambutan hari mulia ini dengan semangat Kekeluargaan Kita ke majlis yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh MyPSA-WA. Berikut adalah butiran program terbabit:

Tarikh: Ahad 29hb November 2009 bersamaan 12 Zulhijjah 1430 Hijrah
Jam: 11 pagi – 2 petang
Tempat: Thurling Green, UWA (Peta Lokasi)
Konsep: Hari Raya, Potluck & Picnic

Akhirnya, pihak MyPSA-WA mengucapkan sekali lagi Salam Eidul Adha buat semua dan semoga semua kita dapat bertemu dalam majlis yang akan diadakan pada hari ahad nanti, InsyaAllah. Ayuh dengan semangat Qurban, kita raikan sambutan ini dengan semangat ukhwah dan KEKELUARGAAN KITA.

Wassalam & Salam Perpadauan

"Kukuhkan MyPSA-WA Kita"

"Kukuhkan Kekeluargaan Kita"

Yang benar,
Ahmad Fareed Ismail
Presiden
MyPSA-WA sesi 2009/2010

No comments:

Post a Comment