Friday, December 18, 2009

Salam Awal Muharram 1431H & Tabung Amanah Zakat

Assalamualaikum dan Salam Muhibbah,

Teman-teman MyPSA WA dan Setanahair sekalian,

Pihak MyPSA WA ingin merakamkan Salam Awal Muharram 1431H buat seluruh ahli MyPSA WA yang beragama Islam. Sempena dengan tahun baru hijriah ini, marilah sama-sama kita memuhasabah diri kita barang apa yang telah kita lalui setahun yang lepas. Apakah kita telah menjalaninya dengan baik dan menampakkan peningkatan daripada tahun-tahun hijriah yang lalu? Apakah kita telah melakukan ibadah yang terbaik kepada-Nya pada tahun lalu berbanding tahun-tahun yang sebelumnya? Apakah kita sudah bersedia jika kita ditakdirkan kita dijemput menemui-Nya pada tahun ini? Saya sekadar mengutarakan soalan-soalan ini kepada diri saya kelmarin lantas terdetik pula untuk berkongsi dengan teman-teman yang lainnya...

Apapun yang telah berlalu tetap berlalu...ayuh kita bulatkan nekad dan tingkatkan istiqamah, bahawa tahun baru hijriah 1431 ini akan menjadi tahun yang lebih baik daripada sebelumnya, InsyaAllah. Jika dalam menyambut Awal Muharram ini kita sering renungkan kembali sirah nabawiyyah, peristiwa hijrah Rasulullah dan para sahabat dari Makkah ke Madinah...apalah kiranya dalam masa yang sama kita renungkan juga sejarah hidup kita daripada mula teringat dek minda hinggalah ke hari ini. InsyaAllah kita mungkin akan tersedar akan betapa banyaknya masa telah kita luangkan untuk menghampiri jejak pengorbanan yang dilakukan para sahabat yang berhijrah bersama-sama Rasulullah...atau mungkinkah kita tidak pernah hampir kepada jejak itu bahkan semakin jauh?? Tepuk dada tanyalah iman kita masing-masing...Wallahu'alam.

Sebagai buah tangan untuk semua pada awal tahun Hijriah ini, MyPSA WA ingin meuar-uarkan penubuhan Tabung Amanah Zakat (TAZ) dibawah seliaan pihak MSDA bagi membantu para pelajar Muslim Malaysia yang berada di Australia. Saya bagi pihak MyPSA WA telah mengadakan perbincangan dengan pihak MSDA dalam memberikan cadangan untuk menambahbaikkan penubuhan TAZ. Perlembagaan dan mekanisme pungutan serta pengagihan zakat ini masih lagi dikemaskini oleh pihak MSDA dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra yang mana akan MyPSA WA maklumkan kepada semua ahli persatuan perkembangannya daripada semasa ke semasa. Walaubagaimanapun sekiranya terdapat mana-mana ahli yang bermasalah atau ditimpa musibbah (diklasifikasikan sebagai asnaf sabil), maka harap memaklumkan kepada mana-mana ahli saf pimpinan MyPSA WA untuk kami lanjutkan ke pengetahuan Ahli Lembaga TAZ yang berpusat di Sydney.

Akhirnya, MyPSA WA sekali lagi mengucapkan Salam Awal Muharram 1431H buat semua dan sama-sama kita sambut dengan angin perubahan ke arah kebaikan dan kebajikan.

Wassalam dan Salam Perpaduan

"Ke Arah Mengukuhkan MyPSA WA"

Yang benar,
Ahmad Fareed Ismail
Presiden
MyPSA WA
Sesi 2009-2010

No comments:

Post a Comment