Wednesday, September 16, 2009

Ucapan Salam Eidulfitri & Salam Ulangtahun Malaysia ke-46

Assalamualaikum dan Salam Muhibbah,

Teman-Teman Setanahair sekalian,

Setelah detik meniti waktu dan hari berganti hari, tanpa kita disedari- sinar Syawal bakal menyinsing yang menandakan berakhirnya kemanisan Ramadhan yang sedang kita nikmati saat dan tika ini. Sepurnama Ramadhan menyinggah hanya bagaikan siang berganti malam pendeknya. Moga-moga segala amal kebajikan kita diterima Illahi dan InsyaAllah kita akan cuba untuk terus Istiqamah dalam bulan-bulan yang mendatang….


Dikesempatan akhir Ramadhan ini, pihak MyPSA WA ingin menitipkan Salam Eidulfitri dan Salam Keceriaan buat seluruh ahli MyPSA WA walau dimana kalian berada. Pihak saf pimpinan MyPSA WA ingin memohon dengan rendah hatinya kemaafan daripada seluruh ahli sekiranya ada salah silap, terlanjur bahasa, terkasar bahasa, terlewat respons, terlepas pandang, tersentuh hati, terkurang prihatin, dan terkurang sempurna majlis yang dianjurkan serta segala kekurangan gerak kerja kami selama 5 bulan menerajui persatuan kita yang belum pun setahun jagung ini. Manakan ada lautan tak bergelora dan manakan ada bumi tak ditimpa hujan.


Dengan semangat ini juga, MyPSA WA menyeru kepada semua kita untuk terus menyuburkan semangat KEKELUARGAAN KITA di perantauan ini. Marilah sama-sama kita saling bermaafan dan melupakan segala kenangan pahit yang terpalit sesama kita dengan semangat SATU KELUARGA MALAYSIA di kota Perth ini. Bagi yang berada di Perth tatkala menyambut Syawal nanti, alangkah indahnya jika budaya kunjung mengunjung kita terus suburkan sesama taulan di sini tanpa mengira agama, bangsa dan budaya. Harapnya jangan kita lupakan teman-teman setanahair di sini terutama daripada kaum Cina , India , Kadazan, Iban dan sebagainya untuk kita raikan bersama lebaran yang mulia ini. Inilah semangat yang harus kita tonjolkan, lebih-lebih lagi dalam kita meraikan Hari Ulangtahun Malaysia ke-46 pada 16 September 2009.


Sementara itu buat teman-teman setanahair yang bakal pulang berhari raya di Malaysia. Pihak MyPSA WA mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kalian bersama sanak saudara tercinta. Berhati-hati jika memandu di tanahair kerana pastinya kesibukan akan terasa sepanjang Eidulfitri ini. Jika makan lemang, ketupat, rendang, soto, masak lodeh, lontong (dan banyak lagi kalau nak ditulis…), ingat-ingatlah kami di sini dan kami doakan kalian selamat kembali bertemu kita di sini nanti.

Akhirnya, sekali lagi MyPSA WA mengucapkan Salam Eidulfitri dan Salam Keceriaan buat semua. InsyaAllah, berbeza dengan tahun lepas, diatas pelawaan pihak Konsulat General Malaysia-Perth, satu Majlis Sambutan Eidulfitri akan dianjurkan bersama-sama dengan semua persatuan Malaysia di Perth pada tarikh, masa dan tempat yang akan ditentukan kelak. Kami juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Ulangtahun Malaysia ke-46 yang bakal kita sambut pada esok hari iaitu meraikan tanggal keramat 16 September 1963, tanggal penubuhan negara Malaysia tercinta.


Wassalam dan Salam Perpaduan

“Ke Arah Mengukuhkan MyPSA WA”

Daripada:

Saf Pimpinan MyPSA WA Sesi 2009/2010

No comments:

Post a Comment